Tuesday, 31 January 2017

LATIHAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) - Tatabahasa



SET RAMALAN 1
Vincent Chong menghadiahi Zalipah sebuah novel bersempena dengan hari jadinya yang ke-14.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Vincent Chong
            Predikat: menghadiahi Zalipah sebuah novel bersempena dengan hari jadinya yang ke-14.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Sebuah novel dihadiahi oleh Vincent Chong kepada Zalipah bersempena hari jadinya yang ke-14.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Bersempena dengan hari jadinya yang ke-14, Vincent Chong menghadiahi Zalipah sebuah novel.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Yang
(vi) Senaraikan satu kata sendi nama yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Dengan
SET RAMALAN 2
Guru mengajar murid-murid di dalam kelas itu subjek Matematik Tambahan agar mereka bersedia untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Guru
            Predikat: mengajar murid-murid di dalam kelas subjek Matematik Tambahan agar mereka bersedia                            untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Murid-murid di dalam kelas itu diajar oleh guru subjek Matematik Tambahan agar mereka bersedia             untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Agar mereka bersedia untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun, guru mengajar murid-            murid di dalam kelas itu subjek Matematik Tambahan.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Agar
(vi) Senaraikan satu kata sendi nama yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Di
SET RAMALAN 3
Abang saya yang sulung memberi ayah wang untuk menjalani pembedahan di hospital swasta yang terletak di Kuala Lumpur.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Abang saya yang sulung
            Predikat: memberi ayah wang untuk menjalani pembedahan di hospital swasta yang terletak di Kuala                            Lumpur.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Wang diberi oleh abang saya yang sulung kepada ayah untuk menjalani pembedahan di hospital             swasta yang terletak di Kuala Lumpur.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Untuk menjalani pembedahan di hospital swasta yang terletak di Kuala Lumpur, abang saya yang             sulung memberi ayah wang.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Yang
(vi) Senaraikan satu kata sendi nama yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Untuk
SET RAMALAN 4
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menganugerahi mantan Perdana Menteri itu bintang kehormatan di Istana Negara.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
            Predikat: menganugerahi mantan Perdana Menteri itu bintang kehormatan di Istana Negara.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Mantan Perdana Menteri itu dinugerahi bintang kehormatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-            Pertuan Agong di Istana Negara.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Di Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menganugerahi mantan Perdana             Menteri itu bintang kehormatan.
(v) Senaraikan satu kata nama khas yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
(vi) Senaraikan satu bahasa istana yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Menganugerahi
SET RAMALAN 5
Cik Yong suka membaca buku cerita pada masa lapang manakala Cik Susan suka menanam pokok bunga pada hujung minggu.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Cik Yong
            Predikat: suka membaca buku cerita pada masa lapang manakala Cik Susan suka menanam pokok                            bunga pada hujung minggu.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Buku cerita suka dibaca oleh Cik Yong pada masa lapang manakala pokok bunga suka ditanam oleh             Cik Susan pada hujung minggu.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Pada masa lapang, Cik Yong suka membaca buku cerita manakala pada hujung minggu, Cik Susan             suka menanam pokok bunga.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Manakala
(vi) Senaraikan satu kata majmuk yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Pokok bunga
SET RAMALAN 6
Biduanita yang bersuara merdu itu telah menghembuskan nafas terakhir di sisi anak tunggalnya pada malam Jumaat yang tenang.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Biduanita yang bersuara merdu itu
            Predikat: telah menghembuskan nafas terakhir di sisi anak tunggalnya pada malam Jumaat yang                               tenang.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Nafas terakhir telah dihembuskan oleh biduanita yang bersuara merdu itu di sisi anak tunggalnya pada malam Jumaat yang tenang.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Pada malam Jumaat yang tenang, biduanita yang bersuara merdu itu telah menghembuskan nafas             terakhir di sisi anak tunggalnya.
(v) Senaraikan satu kata sendi nama yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Di
(vi) Senaraikan satu perkataan berimbuhan pinjaman yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Biduanita
SET RAMALAN 7
Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning hanya meraih tempat ketiga dalam pertandingan bicara berirama peringkat daerah yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning
            Predikat: hanya meraih tempat ketiga dalam pertandingan bicara berirama peringkat daerah yang                            dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Hanya tempat ketiga diraih oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning dalam   pertandingan bicara berirama peringkat daerah yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama         Kementerian Pendidikan Malaysia.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan biasa di atas kepada ayat bersusunan songsang.
            Dalam pertandingan bicara berirama peringkat daerah yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar             bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning hanya             meraih tempat ketiga.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Yang
(vi) Senaraikan satu kata bilangan yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Ketiga
SET RAMALAN 8
Pada minggu lalu, lembu yang menanduk kereta ayah saya itu menanduk kereta Ahmad pula. 
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Lembu yang menanduk kereta ayah saya
            Predikat: itu menanduk kereta Ahmad pula.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Kereta Ahmad pula ditanduk oleh lembu yang menanduk kereta ayah saya pada minggu lalu.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan songsang di atas kepada ayat bersusunan biasa.
            Lembu yang menanduk kereta ayah saya itu menanduk kereta Ahmad pula pada minggu lalu.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Yang
(vi) Senaraikan satu kata nama am yang terdapat dalam ayat di atas.           
            - Lembu
SET RAMALAN 9
Bahawa ujian bulan Januari akan bermula pada pukul 10 pagi diterangkan oleh guru bertugas, Puan Siti Zharafiyah Shaerra.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Bahawa ujian bulan Januari
            Predikat: akan bermula pada pukul 10 pagi diterangkan oleh guru bertugas, Puan Siti Zharafiyah                            Shaerra.
(iii) Tukarkan ayat pasif di atas kepada ayat aktif.
            Guru bertugas, Puan Siti Zharafiyah Shaerra menerangkan bahawa ujian bulan Januari akan bermula             pada pukul 10 pagi.
(iv) Senaraikan satu kata sendi nama yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Pada
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Bahawa
(vi) Senaraikan satu kata nama am yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Guru
SET RAMALAN 10
Sungguhpun badannya letih selepas bekerja seharian, Alilah Sherry tetap menghadiri majlis perayaan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di kawasan tempat tinggalnya.
(i) Nyatakan pola ayat bagi ayat di atas.
            Frasa Nama + Frasa Kerja
(ii) Nyatakan subjek dan predikat bagi ayat di atas.
            Subjek: Alilah Sherry
            Predikat: tetap menghadiri majlis perayaan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di kawasan                             tempat tinggalnya sungguhpun badannya letih selepas bekerja seharian.
(iii) Tukarkan ayat aktif di atas kepada ayat pasif.
            Majlis perayaan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di kawasan tempat tinggalnya tetap             dihadiri oleh Alilah Sherry sungguhpun badannya letih selepas bekerja seharian.
(iv) Tukarkan ayat bersusunan songsang di atas kepada ayat bersusunan biasa.
            Alilah Sherry tetap menghadiri majlis perayaan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di             kawasan tempat tinggalnya sungguhpun badannya letih selepas bekerja seharian.
(v) Senaraikan satu kata hubung yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Yang
(vi) Senaraikan satu perkataan yang berimbuhan apitan yang terdapat dalam ayat di atas.
            - Perayaan

Jurnal Harian : Cuti CNY

Pada 26/2/2017, para pelajar di seluruh Malaysia bercuti sekolah sempena sambutan Tahun Baru Cina. Waktu inilah yang digunakan para pelajar untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan juga mengulangkaji pelajaran. Namun, bagi yang berbangsa Cina, mereka mempunyai satu agenda yang lebih besar, iaitu sambutan Tahun Baru Cina bersama seluruh keluarga.

Keluargaku tidak menyambut Tahun Baru Cina, oleh itu, kami bercadangkan meluangkan masa cuti sekolah ini di Kelantan, rumah abangku. Walaupun masih belajar lagi, abangku sudah berkahwin dan telah pun memperoleh seorang cahaya mata. Dia dan isterinya kedua-duanya menyambung pengajian di KIAS dan menyewa sebuah rumah berdekatan.

Kami bertolak ke sana pada tengah hari 27/2/2017 setelah makan tengah hari. Memandangkan musim perayaan, lebuh raya agak sesak dan perjalanan kami mengambil masa kira-kira 10 jam. Sepanjang perjalanan, agak membosankan bagiku. Masa di dalam kereta aku luangkan dengan menonton cerita kegemaranku menggunakan telefon pintarku.

Setibanya ke rumah abangku di Kampung Mulong, kami berasa amat keletihan kerana duduk terlalu lama. Kami terus menyediakan tempat tidur dan beristirehat.

Sepanjang di sana, kami bukanlah bercadang untuk bersiar-siar. Tetapi, kami hanya mahu meluangkan masa bersama abang dan isterinya yang sudah beberapa bulan tidak pulang. Oleh itu, sepanjang di sana, kami hanyalah meluangkan masa dengan berada di rumah....

Pada 30/1/2017, kami bertolak pulang. Kami bertolak sekitar jam 10 pagi. Pada keesokan harinya, ayahku bekerja, oleh itu, kami bertolak pulang sedikit awal. Sepanjang perjalanan, sekali lagi aku luangkan dengan menonton cerita kegemaranku. Sekali lagi, lebuh raya begitu sesak disebabkan musim perayaan yang sedang berlangsung. Kali ini, perjalanan pulang kami mengambil sekitar 12 jam.

Pada keesokan harinya, iaitu hari terakhir percutian, ayahku bekerja. Manakala, aku dan ibu pergi ke kedai buku berdekatan bagi membeli beberapa buku yang diperlukan. Pada waktu petang, aku pulang ke Kolej PERMATApintar.

Sepanjang cuti sekolah ini, aku berasa sedikit rugi kerana masa lapang banyak diluangkan dengan aktiviti tidak berfaedah. Namun, aku bahagia kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga di Kelantan.

Monday, 30 January 2017

LATIHAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) - Peribahasa

Latihan 1
(i)    Bagai bulan dipagari bintang
(ii)    Hutang darah dibayar darah, hutang nyawa, nyawa padahnya
(iii)    Di mana ada gula, di situ ada semut

Latihan 2
(i)    Ada rotan ada duri
(ii)    Bagai lembu dicucuk hidung
(iii)    Bapa borek anak rintik

Latihan 3
(i)    Air beriak, tanda tak dalam
(ii)    Bagaikan kacang lupakan kulit
(iii)    Bagaikan kacang lupakan kulit

Latihan 4
(i)    Umpama nasi sudah menjadi bubur
(ii)    Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
(iii)    Kepala sama berbulu, pendapat berlain-lain

Latihan 5
(i)    Bagai ular sawa kekenyangan
(ii)    Seperti lipas kudung
(iii)    Tiada patah yang tak tempang

Latihan 6
(i)    Bagaikan kacang lupakan kulit
(ii)    Tinggi disusupi, rendah dilangkahi
(iii)    Bagai sambau di pintu kandang

Latihan 7
(i)    Mencegah lebih baik daripada mengubati
(ii)    Jauh berjalan banyak dilihat, lama hidup banyak dirasa
(iii)    Bersatu teguh bercerai roboh

Latihan 8
(i)    Melentur buluh biarlah dari rebungnya
(ii)    Membaca jambatan ilmu
(iii)    Menanam tebu di tepi bibir

Latihan 9
(i)    Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk
(ii)    Telur di hujung tanduk
(iii)    Pipit itu pipit jugalah lawannya

Latihan 10
(i)    Bagai pinang dibelah dua
(ii)    Bagai menatang minyak yang penuh
(iii)    Anak emas

Wednesday, 18 January 2017

Jurnal Harian 19/1/17

Assalamualaikum w.b.t. ...
Pagi tadi, aku masuk ke kelas seperti biasa. Kelas Kimia Cikgu Md Nor. Best~~~. Kelas kali ini kami mengendalikan eksperimen yang sungguh menarik sekali. Aku terasa amat kagum apabila memikirkannya semula. Kemudian, tamat sahaja kelas Kimia, aku bersama rakan MTP lain terus ke Dewan Serbaguna bagi membantu Puan Roslina dengan sesi orientasi pelajar baharu. Ketika kami sampai, Puan Ros sedang menerangkan kepada mereka arahan bagi LDK yang akan dilakukan. Rupanya, aktiviti yang sama telah kami lakukan pada tahun lepas. Dalam aktiviti tersebut, setiap kumpulan dibekalkan dengan sebungkus spaghetti, sedikit penyedut minuman, segulung pita pelekat dan gunting. Mereka diberi masa selama 30 minit bagi membina sebuah struktur yang kukuh dengan menggunakan peralatan tersebut.

Selesai sesi tersebut, aku ke Dewan Makan dan terus ke kelas Calculus. Cikgu Aqilah menyambung sesi pembelajaran yang tergantung pada minggu lepas. Selepas itu, kami ke Makmal Biologi. Sekali lagi, kami menjalankan eksperimen. Namun begitu, hasil daripada eksperimen tersebut hanya boleh dicatat setelah 24 jam. Tidak sabar rasanya menunggu esok hari.

Pada waktu tengah hari, terdapat sedikit kelapangan masa bagiku kerana program seterusnya hanyalah pada pukul 2.30 petang. Oleh itu, aku luangkan masa tersebut bagi mendapatkan rehat secukupnya. Berasa puas dapat tidur kerana semalam aku tidur-tidur ayam sahaja. Di waktu petang, sekali lagi aku terlibat dengan sesi orientasi. Kami ditugaskan meluangkan masa daripada 4 petang hingga 4.45 petang dengan permainan bersama pelajar baharu.

Kemudian, di waktu prep, ketika pelajar baharu bersedia bagi talent show pada esok hari, aku berlatih drama bagi kelas Bahasa Inggeris yang akan dipersembahkan esok di hadapan Madam Noorlin. Sesi kelas persediaan sepanjang 1 jam 15 minit itu digunakan keseluruhannya bagi berlatih.
Berdebar pula rasanya. Aku merupakan seorang yang malu bercakap di hadapan. Nasib baiklah watakku hanyalah watak kecil sahaja. Oleh itu, masa yang perlu aku berlakon juga tidaklah lama mana.

Aku rasa elok jika aku berhenti di sini. Malam juga kian lewat.
Assalamualaikum w.b.t. ...

Jurnal Harian 17/1/2017

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera....
Pada hari ini, saya sebagai ahli Majlis Tertinggi Pelajar (MTP) ditugaskan supaya melibatkan diri dalam sesi orientasi pelajar baharu. Sesi LDK (latihan dalam kumpulan) pada pagi tadi telah diketuai oleh para kaunselor Kolej PERMATApintar™ Negara. Antaranya, Puan Jamaliah dan Puan Roslina.
Mereka telah memberi situasi yang berbeza-beza kepada setiap kumpulan dan meminta mereka membentangkan jalan penyelesaian mereka bagi situasi berikut. Setiap kumpulan telah dibekalkan dengan crayon dan sehelai kertas mahjong bagi membantu dalam pembentangan mereka.

Contoh situasi yang telah diberikan ialah :
  • Gangguan Seksual  
  • Mengatasi Tekanan
  • Persaingan Dalam Pembelajaran
  • Mendapat Ibu Tiri 

Selepas itu, saya mengiring para pelajar baharu ke Dewan Makan pada jam 10 pagi bagi menikmati minum pagi yang telah disediakan. Setelah selesai minum pagi, saya terus ke kelas Fizik Encik ARHO dan diteruskan pula dengan kelas Bahasa Melayu Encik Mior. Tepat jam 12.30 tengah hari, saya dan rakan-rakan terus ke Dewan Makan dan makan tengah hari. Pada waktu petang pula, hari saya berjalan seperti biasa.

Kemudian, setelah selesai sesi solat Maghrib dan Isya', sekali lagi saya terlibat dengan sesi orientasi pelajar baharu. Namun begitu, sesi pada malam ini dikendalikan oleh ahli MTP sahaja tanpa penglibatan kaunselor. Dengan bimbingan oleh Adhwa dan Aidid, kami berjaya melaksanakan sesi yang baru sahaja tamat pada jam 10.30 malam tadi.

Pada sesi tersebut, para pelajar dapat bermesra dengan ahli-ahli MTP. Mereka diminta mengumpul nama dan jawatan setiap seorang daripada kami. Selain itu, mereka juga boleh bekerjasama sesama ahli kumpulan bagi memastikan tugasan sempat dijalankan dalam masa yang telah ditetapkan. Namun begitu, sudah semestinya bukan mudah bagi mereka untuk memperoleh nama kami. Kebanyakan daripada kami memberi mereka pelbagai tugasan untuk dilaksanakan sebelum mendedahkan nama sebenar kami. Antaranya, disuruh menyanyi, lompat bintang dan pelbagai lagi.

Akhir kata, hari ini amat meletihkan. Dengan bilangan kami yang hanya 33 orang sahaja, kami harus mengendalikan seramai 170 orang murid. Walaupun begitu, Alhamdulillah, kami mampu melaksanakannya.

Oleh kerana ini merupakan entri pertama saya, saya ingin memohonn salah silap sekiranya terdapat sebarang kesilapan. Sekian, terima kasih kerana membaca..

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera