Pada hari ini, saya sebagai ahli Majlis Tertinggi Pelajar (MTP) ditugaskan supaya melibatkan diri dalam sesi orientasi pelajar baharu. Sesi LDK (latihan dalam kumpulan) pada pagi tadi telah diketuai oleh para kaunselor Kolej PERMATApintar™ Negara. Antaranya, Puan Jamaliah dan Puan Roslina.
Mereka telah memberi situasi yang berbeza-beza kepada setiap kumpulan dan meminta mereka membentangkan jalan penyelesaian mereka bagi situasi berikut. Setiap kumpulan telah dibekalkan dengan crayon dan sehelai kertas mahjong bagi membantu dalam pembentangan mereka.
Contoh situasi yang telah diberikan ialah :
- Gangguan Seksual
- Mengatasi Tekanan
- Persaingan Dalam Pembelajaran
- Mendapat Ibu Tiri
Selepas itu, saya mengiring para pelajar baharu ke Dewan Makan pada jam 10 pagi bagi menikmati minum pagi yang telah disediakan. Setelah selesai minum pagi, saya terus ke kelas Fizik Encik ARHO dan diteruskan pula dengan kelas Bahasa Melayu Encik Mior. Tepat jam 12.30 tengah hari, saya dan rakan-rakan terus ke Dewan Makan dan makan tengah hari. Pada waktu petang pula, hari saya berjalan seperti biasa.
Kemudian, setelah selesai sesi solat Maghrib dan Isya', sekali lagi saya terlibat dengan sesi orientasi pelajar baharu. Namun begitu, sesi pada malam ini dikendalikan oleh ahli MTP sahaja tanpa penglibatan kaunselor. Dengan bimbingan oleh Adhwa dan Aidid, kami berjaya melaksanakan sesi yang baru sahaja tamat pada jam 10.30 malam tadi.
Pada sesi tersebut, para pelajar dapat bermesra dengan ahli-ahli MTP. Mereka diminta mengumpul nama dan jawatan setiap seorang daripada kami. Selain itu, mereka juga boleh bekerjasama sesama ahli kumpulan bagi memastikan tugasan sempat dijalankan dalam masa yang telah ditetapkan. Namun begitu, sudah semestinya bukan mudah bagi mereka untuk memperoleh nama kami. Kebanyakan daripada kami memberi mereka pelbagai tugasan untuk dilaksanakan sebelum mendedahkan nama sebenar kami. Antaranya, disuruh menyanyi, lompat bintang dan pelbagai lagi.
Akhir kata, hari ini amat meletihkan. Dengan bilangan kami yang hanya 33 orang sahaja, kami harus mengendalikan seramai 170 orang murid. Walaupun begitu, Alhamdulillah, kami mampu melaksanakannya.
Oleh kerana ini merupakan entri pertama saya, saya ingin memohonn salah silap sekiranya terdapat sebarang kesilapan. Sekian, terima kasih kerana membaca..
Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera
No comments:
Post a Comment