Assalamualaikum w.b.t. ...
Pagi tadi, aku masuk ke kelas seperti biasa. Kelas Kimia Cikgu Md Nor. Best~~~. Kelas kali ini kami mengendalikan eksperimen yang sungguh menarik sekali. Aku terasa amat kagum apabila memikirkannya semula. Kemudian, tamat sahaja kelas Kimia, aku bersama rakan MTP lain terus ke Dewan Serbaguna bagi membantu Puan Roslina dengan sesi orientasi pelajar baharu. Ketika kami sampai, Puan Ros sedang menerangkan kepada mereka arahan bagi LDK yang akan dilakukan. Rupanya, aktiviti yang sama telah kami lakukan pada tahun lepas. Dalam aktiviti tersebut, setiap kumpulan dibekalkan dengan sebungkus spaghetti, sedikit penyedut minuman, segulung pita pelekat dan gunting. Mereka diberi masa selama 30 minit bagi membina sebuah struktur yang kukuh dengan menggunakan peralatan tersebut.
Selesai sesi tersebut, aku ke Dewan Makan dan terus ke kelas Calculus. Cikgu Aqilah menyambung sesi pembelajaran yang tergantung pada minggu lepas. Selepas itu, kami ke Makmal Biologi. Sekali lagi, kami menjalankan eksperimen. Namun begitu, hasil daripada eksperimen tersebut hanya boleh dicatat setelah 24 jam. Tidak sabar rasanya menunggu esok hari.
Pada waktu tengah hari, terdapat sedikit kelapangan masa bagiku kerana program seterusnya hanyalah pada pukul 2.30 petang. Oleh itu, aku luangkan masa tersebut bagi mendapatkan rehat secukupnya. Berasa puas dapat tidur kerana semalam aku tidur-tidur ayam sahaja. Di waktu petang, sekali lagi aku terlibat dengan sesi orientasi. Kami ditugaskan meluangkan masa daripada 4 petang hingga 4.45 petang dengan permainan bersama pelajar baharu.
Kemudian, di waktu prep, ketika pelajar baharu bersedia bagi talent show pada esok hari, aku berlatih drama bagi kelas Bahasa Inggeris yang akan dipersembahkan esok di hadapan Madam Noorlin. Sesi kelas persediaan sepanjang 1 jam 15 minit itu digunakan keseluruhannya bagi berlatih.
Berdebar pula rasanya. Aku merupakan seorang yang malu bercakap di hadapan. Nasib baiklah watakku hanyalah watak kecil sahaja. Oleh itu, masa yang perlu aku berlakon juga tidaklah lama mana.
Aku rasa elok jika aku berhenti di sini. Malam juga kian lewat.
Assalamualaikum w.b.t. ...
No comments:
Post a Comment