Tuesday, 28 February 2017

Latihan : LAPORAN HARI KERJAYA

LAPORAN HARI KERJAYA ANJURAN PUSAT PERMATApintar™ NEGARA 2017

             Pada 15 Februari 2017, Pusat PERMATApintar™ Negara telah menganjurkan Hari Kerjaya yang bertempat di Auditorium Pusat PERMATApintar™ Negara. Tujuan Hari Kerjaya ini diadakan adalah untuk memberi gambaran dan idea awal kepada para peserta mengenai dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi mereka. Program ini juga membantu para pelajar dari segi langkah yang perlu diambil setelah tamat pengajian di Sekolah Menengah dan Institut Pengajian Tinggi. 
             Program ini disertai oleh para pelajar dari Kolej PERMATApintar™, ASASIpintar™, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang serta Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri. Seawal jam 8 pagi, para peserta telah berada di dalam dewan Auditorium Pusat PERMATApintar™, dan program dimulakan dengan ucapan perasmian daripada pengarah Pusat PERMATApintar™ Negara, Profesor Datuk Dr. Noriah Bt Mohd Ishak.
             Selepas itu, para pelajar Asas 1, 2, dan 3 daripada Kolej PERMATApintar™ serta para pelajar jemputan menghadiri Slot Inventori Kerjaya. Slot ini bertujuan memberi gambaran awal kepada para peserta mengenai bidang pekerjaan yang sesuai dengan personaliti mereka. Selain itu, slot ini juga membantu para peserta mengenali kelemahan serta kekuatan diri sendiri dalam pelbagai aspek. 
             Manakala, para pelajar Tahap 1 dan 2 Kolej PERMATApintar™ dan ASASIpintar™ mendengar taklimat daripada wakil syarikat SIME DARBY Sdn. Bhd. . Yayasan Sime Darby menawarkan biasiswa kepada para pelajar yang berminat menyambung pengajian di luar negara antaranya program Excellence Programme, Bursary Programme dan Skill Enrichment Programme. Para pemohon perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan seperti keputusan SPM dan kemahiran sosial yang sesuai. 
             Selepas minum pagi, program diteruskan lagi dengan slot menulis resume dan CV (curriculum vitae). Resume yang ditulis hendaklah lengkap dengan biodata ringkas, pengalaman dalam bidang serta pencapaian peribadi. Resume hendaklah kemas di samping menarik minat majikan. Resume yang ditulis juga perlu ringkas supaya mudah dibaca.
             Di waktu petang, para peserta diberi peluang melawat booth pameran yang memberikan pendedahan berkenaan bidang-bidang yang boleh diceburi pelajar dalam meneruskan pengajian di IPT. Pameran tersebut disediakan oleh pelbagai fakulti daripada Universiti Kebangsaan Malaysia serta beberapa syarikat yang berminat seperti SIME DARBY Sdn. Bhd. .Selain itu, para pelajar Kolej PERMATApintar™ juga telah mengusahakan beberapa gerai jualan yang berbagai. Program tamat sekitar jam 5 petang setelah booth pameran ditutup.


Disediakan oleh,                                                                                                        28 Februari 2017

____イIskandarス___
Pelajar Tahap 2,
Kolej PERMATApintar™,
Pusat PERMATApintar™ Negara

No comments:

Post a Comment